Sabtu, 25 Julai 2009

#2 Penjelasan Nama Blog

Andai kata ada yang bertanya tentang nama blog ini,mengikut kefahaman atau terjemahan saya sendiri:

1.Kudapan adalah sesuatu benda yang boleh dihadam yang bersifat ringan dan perkataan ini lebih banyak digunakan untuk terma-terma makanan terutama yang ringan seperti kuih muih,keropok serta majlis seperti minum pagi, minum petang dan sebagainya.

2.Manakala minda adalah pusat intelektual dan kesedaran seseorang yang mengumpul, menapis dan memilih cambahan-cambahan idea yang baru diterima (melalui visual, bunyi atau gerak hati) menjadi sebuah logik akal yang kemudian diterjemahkan melalui perbuatan.


Semua deria rasa bersambung terus dengan minda untuk diproses kemudian mengarahkan tindakan yang patut diambil kepada saraf motor yang akan mengikut arahan minda. Contoh seperti melekapkan telapak tangan ke permukaan cerek yang panas (secara sengaja ataupun tidak) lalu kita menarik secara automatik akibat kepanasan.

Suka untuk saya berkongsi dengan para pembaca bahawa minda manusia adalah komputer yang paling canggih didunia, mata manusia adalah kamera terbaik didunia dan seluruh sistem alam baik ada pada tubuh manusia, ekologi alam mahupun alam semesta ini tiada tolok banding untuk ditiru oleh manusia apatah lagi mewujudkan suatu sistem yang MAHA Hebat diluar jangkauan minda manusia.

SubhanAllah!! Betapa besar nikmatNYA kepada kita. Andai ada yang takbur dengan rekaan, idea atau ciptaan yang diilhamkan itu, ingatlah siapa yang mencipta dan mengurniakan kita akal dan minda.

Sekadar renungan bersama mengenai maksud nama blog kudapanminda.blogspot.com yang sebenarnya saya puas fikirkan untuk menepati isi kandungannya nanti dan bukan sekadar blog peribadi.


Harapan saya agar sama-sama kita dapat mendalami dan memahami sesuatu isu dan perbincangan yang berbangkit demi generasi yang berilmu, beriman dan beramal. Insya-Allah

#1 Alhamdulillah!! Terbinanya sebuah diari maya..

Salam'alaikum buat sidang pembaca,

Pertama sekali ingin saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya berjaya mewujudkan sebuah blog ( nota / diari maya) yang mampu dikongsi bersama untuk dibaca, difikirkan, dikudap ( hadam) dan mungkin kadangkala pengubat kekosongan jiwa.

Sebelum ini, saya sudah pun mempunyai blog dibawah rangkaian web sosial Friendster di halaman http://zazo.blog.friendster.com/. Namun oleh kerana limitasi untuk menyusun atur mengikut citarasa sendiri ( customize) agak terhad maka tindakan naik taraf adalah perlu.

Sememangnya sudah lama berhajat untuk membina sebuah blog dibawah rangkaian (domain) blogspot.com.
Namun disebabkan kekangan masa serta diri yang dihimpit-himpit keculasan dan kurang daya gerak menyebabkan tertangguhnya kewujudan blog ini.

Blog saya ini adalah berkisar diri saya dan kehidupan sekeliling saya untuk perkongsian, renungan, mahupun teguran yang bersifat terbuka dan membina.

Sekian.